Tak Perlu Ke KL Sentral Lagi, Stesen Pasar Seni Kini Jadi Hub Kedua Hubungkan Pengangkutan Awam Di KL

0
1020
KL Sentral

Tak Perlu Ke KL Sentral Lagi, Stesen Pasar Seni Kini Jadi Hub Kedua Hubungkan Pengangkutan Awam Di KL | Jika sebelum ini kita perlu turun di Stesen KL Sentral untuk pertukaran penggunaan pengangkutan awam melibatkan sistem transit aliran ringan, Komuter, MRT dan sebagainya, sejak tiga hari lalu, pengguna tidak perlu turun di stesen tersebut sebaliknya boleh berbuat demikian di Stesen Pasar Seni.

Ini kerana sebuah jejantas pejalan kaki yang menghubungkan Stesen LRT Pasar Seni dengan Stesen KTM Kuala Lumpur telah dibuka sekaligus menyediakan kesalinghubungan langsung dan mudah untuk pengguna pengangkutan awam bertukar dari perkhidmatan tren MRT dan LRT ke KTM.

Jejantas sepanjang 102-meter telah dibina oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) selaras dengan skop kerja MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK). MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd merupakan rakan pelaksana projek dan Trans Resourced Corporation Sdn Bhd ialah kontraktor kerja tersebut.

Stesen LRT Pasar Seni

KL Sentral Pasar Senipasar seni

Selain pembinaan jejantas melintasi Sungai Klang, kerja-kerja juga termasuk pengubahsuaian dan penambahbaikan kawasan ruang legar dan platform Stesen LRT Pasar Seni, dan juga kawasan pintu masuk Dayabumi di Stesen Kuala Lumpur.

Kerja pembinaan telah bermula pada April 2016 dan telah dijadualkan untuk disiapkan pada Disember 2019. Kos kerja ialah RM103.8 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Encik Abdul Yazid Kassim berkata bahawa beliau berharap jejantas baharu ini akan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam kerana ia akan membolehkan pertukaran di antara perkhidmatan tren MRT, LRT dan KTM dengan lebih mudah dan selesa.

“Kesalinghubungan yang sempurna merupakan salah satu daripada elemen paling penting dalam pengangkutan awam kerana ia menjadikan pertukaran di antara perkhidmatan dan mod lebih mudah dan cekap. Tanpa kemudahan sedemikian, orang ramai akan hilang minat untuk menggunakan pengangkutan awam,” katanya.KL Sentral

Beliau berkata bahawa melihat kepada Stesen MRT Pasar Seni turut dihubungkan dengan lancar dengan Stesen LRT Pasar Seni, ketiga-tiga stesen kini akan menjadi tempat pertukaran utama untuk perkhidmatan tren MRT, LRT dan KTM.

“Jejantas juga direka bentuk untuk menyediakan integrasi tambang pada masa hadapan di antara sistem kutipan tambang LRT-MRT dan juga KTM. Kami berharap suatu hari nanti, pengguna hanya perlu berjalan kaki dari Stesen LRT ke Stesen KTM dan sebaliknya secara terus tanpa perlu melalui sebarang pintu tiket atau membeli tiket baharu,” kata beliau.

Yazid mengucapkan tahniah kepada PDP dan kontraktor yang telah berjaya menyiapkan jejantas lebih awal dari waktu yang ditetapkan dan juga pembinaan yang berkualiti. Beliau berkata bahawa pemilikan, operasi dan penyelenggaraan jejantas kini adalah di bawah Prasarana.

“Jejantas yang akan dibuka kepada penumpang seawal 6 pagi pada Jumaat, 8 November 2019,” kata Abdul Hadi Amran, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd.

Beliau berkata: “Pengguna yang keluar dari Stesen KTM Kuala Lumpur yang ingin bertukar ke LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang digalakkan untuk menggunakan jejantas pejalan kaki baru kerana ia akan memendekkan masa pertukaran mereka”.

“Selain itu, kemudahan walkalator telah dipasang di jejantas pejalan kaki untuk meningkatkan lagi pengalaman perjalanan kepada para penumpang”.

Jejantas baharu ini menghubungkan secara langsung aras ruang legar Stesen KTM Kuala Lumpur di pintu masuk Dayabumi dengan kawasan berbayar Stesen LRT Pasar Seni. Dari sini, pengguna yang ingin ke Stesen MRT Pasar Seni hanya perlu berjalan ke eskalator menghala ke bawah terus ke Stesen MRT yang bertentangan dengan jejantas baharu.

Jejantas baharu ini dilengkapi kipas dan pencahayaan yang cukup dan juga sepasang walkalator menjadikan perjalanan di antara stesen lebih mudah dan selesa. Satu set pintu tiket turut dipasang untuk memberikan akses yang lebih mudah untuk ke Stesen LRT.

Papan tanda baharu juga telah dipasang di Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen KTM Kuala Lumpur untuk membantu pengguna menuju ke destinasi mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here