SL1M Tingkatkan Peluang Graduan Untuk Mendapatkan Pekerjaan

0
145

Sudah menjadi kebiasaan bagi sesebuah organisasi menetapkan syarat “pengalaman bekerja” dalam memilih calon untuk mengisi jawatan tertentu.

Keadaan ini sudah tentunya akan memberi tekanan khususnya kepada graduan yang baru tamat pengajian dan menyempitkan peluang untuk berjaya dalam temu duga.

Menyedari akan kekangan ini, Kerajaan menerusi Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) memberi peluang kepada para graduan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka dengan menjalani latihan sambil bekerja.

Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail bagaimanapun menegaskan SL1M bukanlah program mencari pekerjaan semata-mata kerana menerusi program berkenaan, graduan akan dibentuk untuk menjadi lebih matang dan berkeyakinan.Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M), graduan mengganggur, graduan mencari pekerjaan, graduan sertai skim latihan, SL1M, pengalaman skim latihan,

“Ada graduan memandang rendah terhadap program ini dengan menganggap ia semata-mata latihan tambahan elaun yang diberi juga rendah.

“Mereka berpendapat sebagai graduan universiti, elaun untuk mereka sekurang-kurangnya RM3000 sebulan. Bagi saya cita-cita mereka ini terlalu besar sehingga terkeluar daripada kotak realiti, ” kata Norashikin.

BANTU GRADUAN MENGANGGUR

SL1M yang dilancarkan pada Jun 2011, bertujuan membantu graduan menganggur meningkatkan tahap keupayaan diri dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja bagi meningkatkan peluang untuk mendapatkan pekerjaan.

Setakat ini program itu berjaya membantu lebih 140,860 graduan untuk mendapatkan pekerjaan.

Pada 2017, seramai 19,196 siswazah diambil bekerja oleh syarikat di mana mereka menjalani latihan, manakala, 16,660orang yang lain berjaya mendapa pekerjaan di organisasi lain selepas tamat latihan.

Norashikin menyeru semua pihak khususnya pihak swasta untuk sama-sama terlibat dalam membantu para graduan tempatan meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka sekali gus memperbaiki taraf ekonomi graduan dan keluarga.

“SL1M ingin menjemput semua graduan dan pencari kerja serta seluruh rakyat Malaysia untuk hadir merebut peluang yang diberikan ini bagi sama-sama berusaha meningkatkan tahap kebolehpasaran diri dengan mendapatkan peluang pekerjaan dan latihan yang sesuai, ” katanya.

Menurut Norashikin syarikat yang terlibat akan diberi Insentif Potongan Cukai Berganda atau Skim HRDF-SL1M sebagai salah satu usaha kerajaan menggalakkan lagi penglibatan syarikat swasta dalam program tersebut.

Beliau juga menyelar pihak tertentu yang menjadi SL1M sebagai isu politik sedangkan program itu sangat bermanfaat untuk golongan muda.

“Sedih apabila datang musim pilihan raya, ada pihak yang mainkan isu ini dengan menggambarkan SLIM sebagai sesuatu yang negatif

“Harap mereka sedar bahawa pilihan raya hanya lima tahun sekali, tetapi nasib anak bangsa harus terus dibantu, ” tegas Norashikin.

KONGSI REZEKI DAN ILMU

Dengan niat murni memberi balik kepada masyarakat, selain membantu membangunkan generasi muda negara, Pembinaan Jaya Zira adalah salah sebuah syarikat yang menawarkan latihan sambil bekerja kepada lebih 40 graduan selama setahun menerusi SL1M.

Syarikat itu baru-baru ini mengadakan sesi temu duga terbuka di Putrajaya yang dihadiri 80 orang siswazah dari seluruh negara.

Presiden syarikat, Datuk Adi Munawar Md. Din berkata pihaknya bersedia untuk berkongsi rezeki dan ilmu dengan graduan yang masih mencari tapak dalam dunia pekerjaan, khususnya dalam bidang pembinaan.

“Kita buka peluang ini supaya mereka tahu realiti sebenar bekerja dalam sektor pembinaan.

“Jadi selepas 12 bulan ini mereka boleh putuskan samada mahu teruskan dalam pembinaan atau mahu ke bidang lain, ” katanya yang mempunyai pengalaman 30 tahun dalam sektor pembinaan.

Menurutnya realiti bekerja dalam pembinaan tidaklah seindah seperti yang dipaparkan dalam televisyen.

Pelbagai cabaran menanti seperti masa kerja yang panjang termasuk pada hari minggu dan hari cuti, berpanas di bawah terik matahari, selain berdepan dengan bermacam ragam manusia.

Menerusi latihan itu, pihaknya berharap pelatih yang terlibat akan dapat membina ketahanan diri dan mencari kekuatan mereka.

“Supaya selepas tamat latihan, sekalipun mereka tidak bekerja dengan Jaya Zira, ke mana sahaja mereka pergi, mereka sudah bersedia dan boleh ?terbang’ sendiri, ” katanya.

LATIH ANAK MUDA

Adi Munawar berkata sejak ditubuhkan, syarikat itu mengambil inisiatif untuk melatih anak muda terutamanya bumiputera dalam bidang pembinaan.

Mereka yang menimba pengalaman dengan syarikat itu, katanya, diikhtiraf kebolehan mereka sehingga ditagih syarikat pembinaan lain.

“Kebanyakan yang bekerja dengan kita ramai yang bertukar ke syarikat yang lebih besar dan ada juga yang keluar untuk membuka perniagaan sendiri.

“Pada awalnya mana ada syarikat yang nak bagi peluang pada mereka, tapi kita bagi peluang. Kita buka jalan untuk mereka, latih mereka, dan selepas lima enam tahun mereka boleh bergerak sendiri, ” jelasnya.

Beliau turut menolak persepsi negatif yang mengatakan golongan bumiputera tidak tahan bekerja dalam sektor pembinaan.

“Saya boleh katakan, dari hari pertama saya berniaga, anak Melayu kita sebenarnya adalah yang terbaik.

“Walaupun mereka tidak ada pengalaman, mereka mudah diajar dan mahu belajar, setakat ini kita tidak ada banyak masalah dengan mereka, ” katanya.

Pembinaan Jaya Zira mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam sektor pembinaan. Antara bangunan yang dibina syarikat itu ialah Bangunan Mara di Kuala Lumpur dan yang terbaru Kompleks Islam Putrajaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here