Periksa Mata Anak Untuk Elak “Mata Malas” dan Kecacatan Penglihatan Kekal

0
626
mata malas

Periksa Mata Anak Untuk Elak “Mata Malas” dan Kecacatan Penglihatan Kekal | Adakah guru kelas anak anda baru sahaja menghantar pesanan mengenai masalah penglihatan mata anak anda?

Sebagai ibu atau bapa anda pasti risau dengan aduan itu. Penglihatan, mata, kekaburan, buta, sakit lain, bermacam-macam yang bermain dalam fikiran. Ada juga yang mengambilnya ringan, sekadar membawa anak ke kedai kaca mata dan membelikan mereka sepasang cermin mata.

Menurut pakar optologi pediatrik, Dr. Vijaya Mohan, masalah penglihatan (tidak nampak, tidak jelas, kabur) yang biasanya dikesan oleh guru tidak semestinya boleh diselesaikan dengan sepasang cermin mata. Jika kanak-kanak ini tidak diperiksa mereka mungkin akan menghadapi masalah kecacatan penglihatan yang kekal.

Salah satu masalah penglihatan yang dibincang bersama di klinik Dr.Vijaya di Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (THONEH) di Petaling Jaya ialah masalah amblyopia atau turut dikenali sebagai ‘lazy eyes’ atau mata malas. Masalah yang menyerang satu daripada 40 kanak-kanak ini lazimnya dikesan apabila sebelah mata (atau kedua-dua mata) kanak-kanak tidak mempunyai penglihatan yang penuh mengikut usia.

Apakah “Mata Malas” Yang Boleh Merosakkan Mata Anak

mata malas

“Amblyopia atau mata malas berlaku apabila kadar penglihatan menurun pada satu atau kedua-dua mata disebabkan pembangunan tidak normal pada mata di peringkat awal tumbesaran.

“Kehilangan penglihatan berlaku kerana laluan saraf antara otak dan mata tidak dirangsang dengan betul justeru otak melihat imej secara kabur dengan mata amblyopic. Tetapi jangan risau, masalah mata malas ini boleh dirawat jika dikesan lebih awal,” kata Dr. Vijaya.

Menurutnya, masalah ini boleh berlaku akibat kesilapan refraktif, juling atau masalah katarak.

“Bagaimanapun rawatan boleh dilakukan ketika kanak-kanak masih berusia 3 hingga 8 tahun. Kalau sudah terlewat, ia akan menjadi kekal,” ujarnya.

Antara rawatannya termasuk memberi cermin mata dengan kuasa dan ukuran biji mata yang sesuai.

Namun terdapat kaedah popular dikenali ‘patching’ yang mendorong kanak-kanak menggunakan ‘mata malas’ itu. Ia dilakukan dengan menampal atau menutup mata yang baik beberapa jam setiap hari supaya ‘lazy eyes’ atau mata malas digunakan secara ‘terpaksa’.

“Kita juga akan cuba penstimulasi mata melalui pelbagai perubatan. Ia harus dilakukan sebelum kanak-kanak capai usia 8 tahun kerana kemungkinan mata malas tidak dapat disembuhkan selepas itu,” kata beliau.

Oleh itu, kepada mana-mana kanak-kanak sekalipun, Dr.Vijaya mengesyorkan agar 2 kali pemeriksaan dibuat, pertama sebelum mencapai usia 4 tahun dan kedua apabila mereka memasuki pra-sekolah iaitu pada usia 6 tahun.

Selain masalah di atas, Dr.Vijaya akui masalah kekaburan penglihatan sebagai satu fenomena yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

“Myopiad atau kekaburan semakin kerap dilapor akhir-akhir ini. Ada beberapa sebab, antaranya ialah faktor genetik. Kalau ibu bapa bercermin mata, anak-anak berpeluang tinggi. Kedua ialah faktor lahir di bawah berat badan 1.5kg. Bayi seperti ini akan hadapi masalah penglihatan. Bayi yang dilahirkan secara bukan semulajadi, seperti bayi tabung uji dan sebagainya, ataupun kembar, juga berkemungkinan hadapi masalah ini. Kanak-kanak seperti di atas, seeloknya dibawa untuk pemeriksaan.”

“Itu adalah faktor yang tidak dapat dielakkan. Ada faktor lain yang semakin menjadi-jadi sekarang iaitu pemberian iPad atau telefon pintar kepada kanak-kanak di seawal usia 2 tahun untuk tempoh masa yang lama sehingga boleh memberi kesan kepada penglihatan mereka.

“Bila terlalu lama melihat skrin, dalam jarak yang dekat, biji bebola mata akan membesar dan menyebabkan penglihatan jauh menjadi tidak jelas,” katanya.

Dr.Vijaya akui kesal dengan tindakan sesetengah ibu bapa dan penjaga yang menggunakan iPad dan telefon pintar sebagai peneman kanak-kanak termasuk bayi atas alasan tertentu. Namun, mereka tidak peduli kesannya yang boleh merosakkan masa depan anak itu.

“Solusinya, kanak-kanak itu terpaksa bercermin mata di usia muda. Kekaburan ini boleh mengganggu psikologi mereka,” katanya.

Ditanya jika penggunaan cermin mata yang kerap lebih baik atau meminimakan masa pengunaan adalah elok untuk kanak-kanak, Dr.Vijaya menjelaskan ia tidak membawa apa-apa perubahan.

“Mereka mahu melihat dengan jelas, berikan cermin mata. Tempoh pengunaan cermin mata tidak mempengaruhi kuasa mata. Sebagai ibu bapa kita kena fahami keperluan penglihatan yang jelas dan bukan mengawal pemakaian, lagi-lagi bila mereka terdesak,” tambahnya.

Di samping itu, beliau juga mengetengah masalah berhubung alahan yang menjadi masalah urban penglihatan kanak-kanak. “Ramai kanak-kanak dibawa ke klinik kerana mata merah selepas asyik mengosoknya. Ia bukan serius tetapi banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak urban.

Mungkin kerana alahan makanan, habuk, debu hama, lelah dan termasuk akibat sinusitis. Lazimnya ia dirawat dengan ubatan dan penitis mata. Kalau melibatkan alahan makanan, ibu bapa kena pantau dan pastikan makanan tersebut tidak diberikan lagi,” katanya.

Akhir sekali, Dr.Vijaya menekankan lagi kepentingan membuat pemeriksaan mata dan menyarankan pemakanan sihat terutamanya buah dan sayuran hijau dan kuning yang sangat penting untuk kesihatan mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here