Kos Sara Hidup dan Kos Gaya Hidup Adalah Dua Perkara Berbeza

0
395

Apabila sebut tentang kos sara hidup, ramai rakyat negara ini yang mula mengeluh dan mendakwa kos sara hidup sudah semakin tinggi sehingga membebankan mereka.

Tetapi, ramai yang tidak sedar kos sara hidup dan kos gaya hidup adalah dua perkara yang berbeza. Adakah kos sara hidup atau kos gaya hidup yang membebankan rakyat Malaysia?

Rakyat Malaysia sering mencanang di media sosial bahawa kos sara hidup semakin tinggi sebaliknya berbangga menayang kereta import, pakaian berjenama dan makan di tempat mewah dalam kehidupan seharian mereka.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata orang ramai harus berpegang kepeda prinsip ‘Ukur baju pada badan sendiri’ dari mengeluh tentang kos sara hidup yang tinggi.

Beliau berkata pengalaman hidupnya memasuki alam pekerjaan sebagai jurutera di Lembaga Letrik Negara (LLN) sudah cukup gah ketika itu. Namun kesukaran yang dilaluinya sejak kecil mengajarnya untuk menguruskan kewangan dengan bergaji RM1,160 sebulan dengan sebaik mungkin.

“Saya berulang-alik ke tempat kerja naik bas dengan tambang RM3.60 sehari, terpaksa naik bas seawal 6.55 pagi setiap hari, beli hanya dua helai baju kemeja harga RM11.90 sehelai walaupun berkerja sebagai jurutera. Berapa ramai jurutera sekarang macam ini?

“Saya tidak minta anak muda sekarang mengikut cara saya, namun cukup kita mempelajari kaedah mengurus dan mentadbir kewangan secara cekap agar tidak terperangkap dengan isu ini, fahami adakah sebenarnya kita terperangkap dengan kos sara hidup atau kos gaya hidup,” katanya

Idris berkata jika beliau lebih mengikut gaya hidup berbanding sara hidup pastinya beliau akan membeli kereta dan berbelanja besar seterusnya terperangkap dengan kos gaya hidup yang tinggi.

“Cukup atau tidak cukup perbelanjaan bergantung kepada kebijaksanaan seseorang mengurus kewangan mereka, jika ia diurus dengan berhemah mengikut keperluan atau kemampuan maka tidak wujud masalah kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Menurut Idris, individu yang mendakwa mereka mengalami kos sara hidup tinggi kebanyakkan kerana individu itu berbelanja di luar dari kemampuan dan tidak pandai menyusun bajet untuk keperluannya dan akhirnya terperangkap dengan kos gaya hidup yang tinggi.

“Sejak kecil rumah saya tidak mendapat bekalan elektrik, malah ketika saya mula bekerja dengan LLN pun saya masih belum mampu sediakan bekalan elektrik untuk rumah ibu saya, bayangkan jurutera LLN tidak mampu sediakan bekalan elektrik untuk rumah ibu sendiri tetapi inilah realiti kehidupan saya ketika itu.

“Saya hanya mampu berbuat demikian sekitar 1991 apabila naik pangkat jadi jurutera kanan, tetapi masa hendak pasang wayar elektrik ada pula bahagian kayu rumah yang reput, kena keluar lagi belanja. Jadi ini semua saya hadapi dan mendidik saya mengurus kewangan dengan lebih baik,” katanya.

Kredit: utaranews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here