(Video) Tidak Cukup Lebih 100 Nyawa Penduduk Palestin Gugur Ditembak Israel Terus Mengganas Bom 35 Sasaran Di Gaza

0
290

Ketegangan yang meletus di sempadan Palestin-Israel bermula daripada perasmian pembukaan Kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis terus meruncing dengan terbaru, Tentera Israel terus membedil beberapa lokasi penting di Gaza.

Sejak 30 Mac lalu, media Al-Jazeera melaporkan sekurang-kurangnya sudah 121 orang awam Palestin yang turun membuat bantahan telah tekorban menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Tentera Israel baru-baru ini telah melancarkan beberapa serangan ke atas beberapa lokasi di Gaza selepas mendakwa ia tindakan balas terhadap serangan yang dilancarkan oleh pejuang Hamas sejak beberapa hari lalu- terbesar sejak beberapa tahun- mencetuskan suasana suram di wilayah yang sudah terkepung sejak 12 tahun lalu.

Selasa lalu, pesawat pejuang Tentera Israel dilaporkan telah mengebom 35 sasaran yang didakwa dimiliki oleh kumpulan Jihad dan pejuang Hamas.

Tentere Israel dalam satu kenyataan memberi alasan bahawa serangan itu dilancarkan bagi membalas tindakan kumpulan Jihad melancarkan roket dan motar ke wilayahnya.

Serangan roket dan mortal itu dilancarkan setelah kumpulan Jihad berikrar untuk menuntut bela di atas kematian rakyat Palestin sejak beberapa minggu lalu akibat kezaliman rejim Zionis.

Hamas dan kumpulan Jihad dalam satu kenyataan bersama berkata ”respon dengan serangan roket ke atas kemudahan ketenteraan menunjukkann bahawa tidak lagi boleh bertolak ansur dengan jenayah ini”.

Briged Al-Qassam dan Briged Al-Quds berkata, Israel bersalah kerana ”sikap agresif Israel terhadap rakyat kami” disifatkan sebagai ”cubaan untuk mengalihkan tumpuan dunia daripada jenayah yang mereka lakukan kepada orang awam yang cintakan kedamaian”.

”Ketegangan yang meningkat amat bahaya terutama di kawasan penempatan haram Zionis, dan mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap ketegangan yang meningkat itu,” kata jurucakap Hamas, Ismail Radwan.

Katanya lagi, pendatang haram Yahudi harus sedar bahawa penjajahan mereka akan diberi penentangan oleh orang-orang Palestin.

”Terdapat banyak kekecewaan di sini, selepas dua bulan protes berlaku dan lebih 100 nyawa orang Palestin gugur, Israel masih enggan untuk membuka semula sekatan yang dikenakan ke atas Gaza,” lapor wartawan Al-Jazeera di Gaza.

Israel pada Selasa lalu mendakwa sistem perlindungan udara Iron Dome miliknya telah memintas sebahagian daripada 28 roket yang dilancarkan daripada wilayah Palestin ke wilayahnya. Manakala selebihnya menghentam kawasan pertanian dan kawasan lapang. Tiada kecederaan awam dilaporkan.

Bagaimanapun media Israel melaporkan sekurang-kurangnya tiga orang anggota tentera cedera dalam serangan tersebut.

Selepas beberapa jam Israel melancarkan serangan terhadap Gaza, siren amaran kedengaran di wilayah selatan Israel. Jurucakap tentera memaklumkan pihaknya mengesan beberapa roket dilancarkan ke wilayah Israel.

”Tiada negara yang akan atau patut menerima ancaman sebegitu ditujukan ke atas orang awam. Begitu juga dengan Israel,” kata jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahshon.

Lebih 2 juta penduduk Gaza sebelum ini menjadi mangsa kepungan Israel yang dilaksanakan sejak 12 tahun lalu menyaksikan akses kepada bahan makanan dan bahan mentah untuk pembangunan semula Gaza amat terhad.

Israel mengundurkan sepenuhnya anggota tenteranya daripada Gaza pada 2005, namun mengekalkan kawalan ketat ke atas wilayah itu atas alasan keselamatan. Mesir pada masa yang sama turut mengetatkan urusan keluar dan masuk warga Palestin di pintu sempadan yang dikawalnya.

Pada tahun 2014, penduduk Gaza menjadi mangsa keganasan terbesar tentera Israel apabila sekurang-kurangnya 2,251 orang rakyat Palestin terkorban dalam kempen serangan udara tentera Israel.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dijangka akan mengadakan persidangan pada Rabu akan datang di atas permintaan Amerika Syarikat untuk mengadakan pertemuan segera.

Bagaimanapun perbincangan itu dijangka lebih berkisar mengenai ancaman keselamatan yang dihadapi oleh warga Israel berbanding keganasan di wilayah Gaza jika mengambil kira kenyataan yang dibuat oleh Duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley.

Sumber: Al-Jazeera

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here