Adakah Anda Seorang OCD atau Perfectionist? Semak Perbezaan Ini

0
922
OCD

Label OCD seringkali dilontar apabila kita mendapati seseorang mempunyai tabiat yang kerap kali diulang-ulang. OCD atau ‘obsessive compulsive disorder’ merupakan sejenis penyakit minda yang kerap kali berlaku pada mana-mana individu.

Diletakkan dibawah kategori ‘obsessive-compulsive and related disorder’ dalam rekod DSM-5 yang menjadi rujukan utama semua jenis penyakit di dunia, OCD boleh datang dalam bermacam jenis tekanan perasaan, dengan setiap perasaan menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan dalam bentuk stres, emosional, kebimbangan, pengulangan atau merasakan sesuatu tidak berfungsi dengan baik.

Semua kajian yang dijalankan terhadap individu OCD menemui perkara yang serupa; semuanya seakan diganggu dengan pemikiran yang tidak pernah berhenti, senantiasa bergerak atau berputar menyebabkan mereka menjadi seorang yang perlu ‘membetulkan’ sesuatu secara ekstrim, dengan kebanyakannya biasanya memerlukan seseorang mengulang tabiat seperti mengira, memeriksa, membasuh, mengemas, menyusun dan sebagainya berulang kali.

OCD bukan ‘perfectionist’!

Salah satu tanggapan salah yang paling kerap berlaku dalam ramai individu, adalah menyamakan tabiat seseorang yang ‘gemarkan kesempurnaan’ atau ‘perfectionist’, sebagai OCD – sedangkan wujud perbezaan yang sangat besar antara kedua-duanya.

Untuk memahami perbezaannya, kita perlu melihat OCD sebagai satu tabiat kekal atau ritual yang perlu dilakukan individu yang mempunyai sindrom ini, dengan setiap individu OCD tidak mempunyai kemampuan untuk menghentikannya.

Sebagai contoh, seseorang yang perlu memeriksa kunci pintu berulang kali selama beberapa minit tanpa henti, setiap kali dia mahu keluar rumah. Ada juga rakan kepada penulis yang perlu mengambil air wuduk berulang kali sehinggakan ada kalanya terlepas beberapa rakaat, hanya semata-mata untuk memuaskan hatinya.

Seorang yang OCD akan mula berasa gelisah seandainya dia tidak dapat atau tidak dibenarkan memenuhi kehendak mindanya itu, menyebabkan dirinya merasa bimbang.

Perkara itu pula mestilah berlaku setiap hari, setiap masa sebagai rutin hidup yang perlu dilakukannya – itu OCD. Seseorang yang ‘mesti sempurna’ pula jauh berbeza dengan OCD dan kita perlu mampu mengenalpasti perbezaannya.

Apa itu ‘perfectionist’?

Untuk memahami perbezaan kedua-duanya, contoh yang paling mudah untuk digunakan adalah ibarat seorang yang hendak memandu kereta.

Seorang yang OCD mungkin akan mempunyai tabiatnya sendiri – masuk kereta, periksa itu ini, pasangkan enjin, bukakan pendingin hawa kemudian memperbetulkan cermin belakang dan sisi. Tak puas hati? Dia akan mematikan enjin, kemudian kembali melakukan semua perkara sekali lagi walau beberapa kali pun dia perlu mengulanginya.

Individu yang ‘perfectionist’ pula berbeza kerana dia mesti memastikan situasi atau keadaan menepati kehendaknya terlebih dahulu, sebelum dia boleh memandu.

Dia akan masuk ke kereta, memeriksa semuanya terlebih dahulu, mungkin juga memastikan tiada habuk atau sampah dalam kereta. Selepas membersihkan kereta, dia akan memastikan semuanya rapi seperti cermin dan tali pinggang telah pun dipakai – barulah dia dapat memulakan pemanduan.

Nampak bezanya?

‘Perfectionist’ boleh menjurus kepada OCD sekiranya tidak dikawal

Seseorang yang mahu sesuatu itu tersusun atau sempurna, sebenarnya mempunyai petanda awal boleh berlaku OCD kepada dirinya, apatah lagi apabila sesuatu yang ‘tidak sempurna’ mula menyebabkan rasa resah.

Melalui kajian pertama yang dijalankan daripada tahun 1989 sehingga 2016 oleh Thomas Curran dan Andrew Hill melibatkan pelajar peringkat tertiari di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada; jumlah pelajar yang cenderung menunjukkan sifat-sifat ‘mahu sempurna’ semakin meningkat – dan ini tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang positif.

Walaupun kita mungkin merasa seronok digelarkan sebagai seorang yang ‘perfectionist’, hakikatnya mengejar sempurna itu hanya akan menyebabkan seseorang individu itu seringkali menyalahkan dirinya semasa membesar; setiap masa.

Apa yang ditakuti berlaku bila kita sudah terbiasa mahu sempurna ini, seperti yang sudah disebutkan di atas adalah wujudnya rasa bimbang. Itu permulaan. Malangnya, kajian juga menunjukkan seorang yang ‘perfectionist’ juga mempunyai risiko untuk melakukan bermacam perkara yang sebenarnya tidak baik, seperti berlapar, stres, insomnia, bermacam fobia dan pelbagai tabiat lagi – hanya untuk memastikan semuanya sempurna.

Dalam kes lebih ekstrim, ‘perfectionist’ mempunyai keinginan bunuh diri hanya kerana kondisi atau keadaan yang dimahukannya tidak diperolehi.

Oleh yang demikian, banyak kesimpulan hasil daripada kajian yang dijalankan menasihatkan agar kita tidak meletakkan sasaran tak masuk akal yang perlu kita penuhi, kerana merasakan sasaran tinggi itu bagus untuk kita. Seorang pesakit perfectionist seringkali meletakkan sasaran mustahil dikecapi yang cuba diyakini mampu dicapai.

Gagal? Dia akan mula menyalahkan diri sendiri dan daripada situlah, semua gejala tidak sihat akan bermula. Jadi – tenang-tenang sajalah. Tak perlu kejar orang lain dan yang lebih penting, terima diri kita pasti akan ada kekurangan.

Rujukan

The dangerous downsides of perfectionism

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here