5 Pemain Bola Sepak ‘Tidak Menjadi’ di Luar Negara

0
2337

Malaysia tidak pernah ketandusan bakat dalam bola sepak, bahkan sebahagian mereka turut dipancing kelab luar negara. Namun, kebanyakan mereka “tidak menjadi” atas pelbagai faktor termasuk kecederaan dan isu kewangan.

Berikut antara pemain tempatan yang pernah menyinar tetapi gagal mencapai kejayaan yang diidami peminat bola sepak tempatan:

Akmal Rizal Rakhli

Siapa yang tidak ingat pemain ini, beliau merupakan seorang penyerang yang cukup berbisa pada zamannya.

Anak kelahiran Jitra, Kedah yang lahir pada 13 Disember 1981 ketika belasan tahun menjadi sebutan ramai apabila beliau mempamer persembahan luar biasa di Kejohanan Nike Premier Cup bawah 14.

Dalam kejohanan pada 1996, beliau menjaringkan tujuh gol sekaligus mencipta kejutan dengan membantu Malaysia membelasah jaguh Asia iaitu Korea Selatan 12-0.

Malangnya, Malaysia gagal menempah tiket ke Manchester, yang merupakan hadiah untuk juara kejohanan selepas tunduk 1-2 kepada musuh ketat Indonesia di perlawanan akhir. Tetapi Akmal dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Setelah itu, beliau menerima pelbagai anugerah hingga menarik minat Bayern Munich untuk mengajaknya menjalani latihan bersama mereka di Jerman pada September 1997.
Dua tahun kemudian, kemahirannya menarik minat kelab Perancis Racing Strasbourg yang menawarkan tempat untuknya bersama seorang lagi pemain dari Pahang iaitu Juzaili Samion.

Di Perancis, beliau bermula cemerlang apabila menjaringkan dua gol pada perlawanan pertama ketika membantu pasukan Strasbourg bawah 21 menang 3-1 mengalahkan kelab Jerman FC Cologne dalam kejohanan bawah 23 kelab-kelab Eropah.

Bagi membolehkan mendapat lebih masa beraksi, Akmal dan Juzaili, dipinjamkan ke kelab Haguenau FC. Di sana bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid sekali lagi menjadi tumpuan apabila menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan.

Selepas beraksi baik, beliau kembali le Strasbourg, tapi malangnya beliau mengalami kecederaan ‘hamstring’ yang menyebabkan kontraknya tidak diperbaharui. Akmal akhirnya kembali ke Malaysia dan memulakan karier bersama Kedah.

Nazmi Faiz Mansor

Nama Nazmi pada dekad ini tidak dapat disangkal lagi kehebatannya. Produk Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang kini berusia 25 tahun, memenuhi dada akhbar selepas beliau mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab liga utama Portugal iaitu SC Beira-Mar pada 2012.

Berangkat ke Portugal pada usia 17 tahun, media negara itu melabelkannya dengan gelar ‘Little Messi’ ekoran kehebatannya menggelecek dan atas kepantasannya.

Diserapkan ke pasukan bawah 19 tahun untuk kelab berpangkalan di Aveiro, sayangnya selepas enam bulan, beliau pulang mengejut ke Malaysia atas alasan yang tidak diketahui, malah meminta Beira-Mar menamatkan kontraknya.

bola sepak

Kepulangannya itu mengecewakan ramai pihak, termasuk pengendali Harimau Muda Ong Kim Swee dan setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzudin Ahmad.

Beberapa portal kemudian mendakwa Nazmi kembali ke tanaha air ekoran masalah peribadi dengan seorang gadis. Ada portal juga mendedahkan punca sebenar adalah masalah kewangan akibat krisis kewangan Eropah yang turut melanda Portugal.

Nazmi dikatakan hanya dibayar 500 Euro untuk tempoh enam bulan hingga terpaksa keluar dari kediamannya dan menumpang di rumah sewa rakan sepasukan.

Difahamkan bapa Nazmi sebelum itu pernah berbincang masalah berkenan dengan FAM tetapi persatuan itu tidak mampu membayar yuran perpindahannya yang bernilai €50,000.
Pemenang pingat emas Sukan Asia Tenggara (SEA) 2013 kini beraksi dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Wan Zack Haikal

Bekas pemain sayap pasukan Kelantan, Wan Zack, 28, pernah menarik minat media tempatan apabila mengikat kontrak dua tahun bersama kelab bola sepak Jepun iaitu FC Ryukyu.

Perpindahan Wan ke kelab divisyen tiga negara Matahari Terbit, tidak berseorangan. Turut sama seorang lagi pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Nazirul Naim.

Ryukyu terpikat dengan beliau selepas pengurusnya Kaneko Tatsuhito melakukan lawatan kerja di Malaysia.

Berhijrah ke Jepun pada 2013, malangnya ketika kontrak berbaki setahun, Wan memilih pulang ke Malaysia akibat masalah kecederaan sebelum menyertai Kelantan pada Mac 2014.

Ada portal menyebut bekas pemain Harimau Muda cedera ‘anterior cruciate ligament (ACL) di paha kanannya ketika di Jepun.

Dilaporkan Ryukyu mahu terus menggunakan khidmatnya, malah sanggup membiayai kos rawatan kecederan tetapi beliau membuat keputusan menyambung rawatan di Malaysia, sekaligus menamatkan kontrak.

Pemenang anugerah pemain muda terbaik FAM 2011 kini beraksi bersama Selangor kendalian bekas jurulatih Malaysia B Sathianathan.

Safee Sali

Sembilan tahun lalu, Safee Sali mengegarkan Asia Tenggara apabila menerima anugerah kasut emas Piala AFF Suzuki sekaligus membawa Malaysia bergelar juara pertandingan dua tahun sekali.

Selepas persembahan bertenaga yang berlangsung di Indonesia dan Vietnam itu, Safee mula diintai beberapa kelab negara Asean.

Namun pada 7 Februari 2011, FAM mengumumkan beliau akan beraksi di Liga Super Indonesia (ISL) bersama Pelita Jaya FC dan menjadi pemain Malaysia pertama beraksi di bumi Garuda.

Dengan menandatangani kontrak bersama kelab berpangkalan di Jawa Barat, Safee memperoleh gaji cukup lumayan iaitu RM38,000 sebulan seperti dilapor Utusan.

Pada pusingan pertama liga ISL, anak kelahiran Kajang itu menjaringkan tujuh gol dalam 13 penampilan, sebelum menambah tujuh gol lagi di pusingan kedua.

Menurut Astro Awani, Safee mencetak 27 gol dalam 42 penampilan sepanjang dua tahun bersama Pelita Jaya yang kini ditukar nama kepada Madura United.

Selepas itu, beliau berpindah ke Jawa Timur pula untuk beraksi bersama Arema Cromus, namun beliau dipinjamkan ke Johor Darul Takzim (JDT) akibat krisis kewangan ISL yang mengakibatkan liga itu kemudian diharamkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Tidak memperoleh sebarang piala atau anugerah di Indonesia dalam karier bola sepak, mungkin akibat faktor usia, kini 35, aksinya kini merudum.

Beliau sekarang bermain bersama kelab Liga Super Petaling Jaya City FC, malah menurut Fox Sports, pemain senior itu masih berminat menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Titus James Palani

Dua puluh tahun lalu, seorang remaja asal Brickfields, melakukan perkara tidak masuk apabila berjaya menimbang bola dengan rekod 5,680 kali dalam masa sejam 14 minit.

Malah pada tahun sama, beliau menjuarai pertandingan menimbang bola, setelah berhasil membuat timbangan 1,524 kali.

Remaja itu bernama Titus James Palani. Kejayaan tersebut membolehkan beliau ketika itu, 13 tahun, menerima cek RM1,000, pingat dan sijil istimewa.

Kehebatannya juga menyebabkan beliau satu-satunya orang Asia terpilih menyertai akademi kelab divisyen satu Perancis iaitu Le Havre. Akademi itu terkenal melahirkan bintang dunia antaranya Paul Pogba, Dimitri Payet dan Riyad Mahrez.

Ramai ketika itu berharap Titus bakal membawa bola sepak negara ke tahap lebih tinggi suatu hari nanti. Namun selepas beliau e Le Havre, ramai yang tertanya-tanya apa sudah jadi?

Berdasarkan Berita Harian tahun lalu, pemain yang pernah menjalani latihan ujian bersama Blackburn Rovers kini masih di Perancis dan bermain untuk kelab divisyen tiga negara berkenaan CS Meaux.

Selepas Le Havre, rupa-rupanya Titus beraksi bersama banyak kelab liga bawahan di sana seperti Nanteuil SC, FC Villenoy dan Normandy tanpa mengecap sebarang kejayaan.

Harian Metro pada 2007 pula menyebut, bekas pengendali skuad bola sepak kebangsaan B Sathianathan pernah memanggilnya pulang untuk menguatkan Malaysia bagi menghadapi cabaran di Sukan SEA di Korat.

Namun tidak berhasil kerana Titus berdepan kesukaran meninggalkan Perancis ekoran beliau memohon taraf kerakyatan di sana.

Kini, berusia 33 tahun, peluang Titus untuk menempa nama dalam dunia bola sepak mungkin masih boleh tapi sangat tipis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here